Penghujung 2011 ini memaparkan kisah yang tidak kuduga. Berakhirnya kisah kasih sayangku bersama bekas teman lelakiku kerana gangguan orang ketiga. Disember yang sepatutnya menyaksikan kami mengikat tali pertunangan telah semakin berlalu. Segala harapan dan impian telah musnah...
Inilah kisah kehidupan, kadang kita gembira, bahagia, seronok dan bersemangat. Kadang kita sedih, berduka dan rasa putus asa. Dek kerana dugaan yang melanda diri ini, aku telah merasai nikmat kepahitan hidup yang hampir-hampir tidak mampu aku menanggungnya. Ditimpa musibah, adakalanya membuatkan kita hilang pertimbangan, rasa kecewa yang teramat, segalanya hanya membebankan akal fikiran...
Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui betapa hati ini terlalu rapuh, akal fikiran ini tak mampu menanggung bebanan dugaan yang sangat menguji. Aku insan yang lemah, Ya Allah. Kau berikanlah cahaya petunjuk-Mu. Moga aku tidak sesat di jalan yang penuh onak dan duri ini. Sesungguhnya hati ini terlalu kecewa. Dengan cara apa lagi dapat kulakukan selain mengadu hanya pada-Mu, Ya Allah. Aku memohon semoga sinar kebahagiaan akan menjelma kelak sekaligus membasuh serpihan luka yang masih tertinggal. Semoga Allah melindungi diriku daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan...
Kekecewaan bukan sahaja melemahkan jiwa, malah boleh memusnahkan kehidupan jika tidak dikawal. Aku sedang cuba mengawalnya. Aku sedang cuba memujuk hatiku sendiri. Walau terkadang menitis jua airmata ini, itu kan lumrah insan berduka, namun aku tetap cuba untuk tabah. Ini bukan pengakhir cerita. Mungkin inilah permulaannya.
No comments:
Post a Comment