Wednesday, 21 December 2011

Menanti Memori Berlalu

Dah sebulan berlalu. Berat badan pun makin susut. Apa saja yang aku makan dah tak rasa apa-apa, Adakalanya aku terlupa untuk menjamah makanan sehari suntuk. Bukan sengaja aku tak mahu makan tapi aku langsung tak terfikir tentang itu. Baru-baru ini aku demam dan sakit kepala beberapa hari, mungkin kerana terlalu tertekan dengan apa yg telah aku alami. Aku hanya berehat di rumah bersama keluarga yang sangat mengambil berat tentang diriku. Terima kasih ibu, kerana memberi sokongan ketika diriku lemah dan tidak berdaya. Ibu yang membawa ku ke klinik dan menjagaku sehingga sembuh.

Aktiviti harian terasa hambar, mungkin masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang mencengkam emosi ini. Aku dah tukar nombor telefon. Alhamdulillah, aku rasa sedikit sebanyak terlerai juga kakusutan ini. Kalaulah aku ni banyak duit dan kaya raya, nak je aku pergi bercuti lama-lama ke luar negara, sebab berjalan-jalan ke tempat orang dan menikmati keindahan yang bukan kebiasaan kita, dapat melegakan dan membuatkan kita lupa sekejap tentang masalah yang kita hadapi. Apapun, aku tetap akan melangkah sedikit demi sedikit untuk keluar dari kepompong tekanan ini.

Semoga Allah merestui doaku. Kita merancang, Allah juga merancang. Akan tetapi, perancangan Allah lah yang terbaik. Aku redha dengan apa yang berlaku. Syukurlah aku masih dikurniakan kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Mudah-mudahan jalan ku nanti lebih sempurna, Insyaallah..

Tuesday, 20 December 2011

Penghujung Cintaku

Penghujung 2011 ini memaparkan kisah yang tidak kuduga. Berakhirnya kisah kasih sayangku bersama bekas teman lelakiku kerana gangguan orang ketiga. Disember yang sepatutnya menyaksikan kami mengikat tali pertunangan telah semakin berlalu. Segala harapan dan impian telah musnah...

Inilah kisah kehidupan, kadang kita gembira, bahagia, seronok dan bersemangat. Kadang kita sedih, berduka dan rasa putus asa. Dek kerana dugaan yang melanda diri ini, aku telah merasai nikmat kepahitan hidup yang hampir-hampir tidak mampu aku menanggungnya. Ditimpa musibah, adakalanya membuatkan kita hilang pertimbangan, rasa kecewa yang teramat, segalanya hanya membebankan akal fikiran...

Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui betapa hati ini terlalu rapuh, akal fikiran ini tak mampu menanggung bebanan dugaan yang sangat menguji. Aku insan yang lemah, Ya Allah. Kau berikanlah cahaya petunjuk-Mu. Moga aku tidak sesat di jalan yang penuh onak dan duri ini. Sesungguhnya hati ini terlalu kecewa. Dengan cara apa lagi dapat kulakukan selain mengadu hanya pada-Mu, Ya Allah. Aku memohon semoga sinar kebahagiaan akan menjelma kelak sekaligus membasuh serpihan luka yang masih tertinggal. Semoga Allah melindungi diriku daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan...

Kekecewaan bukan sahaja melemahkan jiwa, malah boleh memusnahkan kehidupan jika tidak dikawal. Aku sedang cuba mengawalnya. Aku sedang cuba memujuk hatiku sendiri. Walau terkadang menitis jua airmata ini, itu kan lumrah insan berduka, namun aku tetap cuba untuk tabah. Ini bukan pengakhir cerita. Mungkin inilah permulaannya.